7.0 PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN MENGGUNAKAN TEKNIK DALIL AVU ZAR ZAD
Teknik Dalil Avu
Zar Zad adalah satu formula mudah bagi mengatasi masalah murid dalam menulis
Jawi. Teknik Dalil adalah menggunakan Jadual Kunci Huruf yang mengandungi
huruf-huruf yang mewakili huruf-huruf tunggal Rumi bersamaan huruf tunggal Jawi.
Teknik Avu Zar Zad pula adalah Jadual yang menunjukkan huruf-huruf Jawi yang
boleh disambung dan yang tidak boleh disambung dengan huruf selepasnya. Huruf hamzah, alif, va, wau, zai, ro, zal
dan dal atau dikenali sebagai Avu Zar Zad adalah huruf-huruf yang tidak boleh
disambung. Pada kad, selepas huruf-huruf ini diletakkan symbol ( - ). Huruf-huruf Jawi selain daripada
huruf-huruf Avu Zar Zad boleh disambung dengan huruf-huruf lain selepasnya.
Pada kad, simbol (+) diletakkan. Berikut
ialah aktiviti intervensi yang dijalankan berdasarkan Teknik Dalil Avu Zar Zad:
i.
Aktiviti I: Memperkenalkan Teknik Dalil
Saya memberikan Kad Dalil Avu Zar Zad
kepada setiap murid dan mengajar mereka bagaimana untuk menggunakan kad
tersebut berdasarkan tahap pengetahuan sedia ada mereka sendiri. (Contoh Kad di
Lampiran C). Pada permulaannya, saya membantu murid mengenal pasti persamaan huruf
tunggal Rumi dengan huruf tunggal Jawi. Langkah seterusnya membezakan
penggunaan huruf kaf dan qaf (iaitu huruf kaf di awal suku kata manakala huruf
qaf di akhir suku kata). Seterusnya saya membimbing murid mengenali dan membezakan
huruf-huruf diagraf dan huruf vocal di awal suku kata.
Pemerhatian: Sesi penerangan dan soal
jawab sambil memegang Kad Dalil ternyata dapat menarik minat murid melibatkan
diri secara aktif dalam aktiviti p&P. Saya berpuas hati dan bersyukur
dengan sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan murid.
ii.
Aktiviti II: Memberi Soalan Latih Tubi Untuk Teknik Dalil
Setelah soal jawab secara lisan
dengan memanggil murid secara bergilir-gilir untuk memberi jawapan, saya
memberikan beberapa soalan latih tubi kepada murid iaitu soalan-soalan yang
mengandungi huruf tunggal rumi. Saya meminta murid-murid menulis huruf Jawi
yang mempunyai persamaan dengan huruf Rumi yang ada pada kertas latih tubi
masing-masing dengan melihat Kad Dalil Huruf. Setelah semua murid selesai menulis jawapan
masing-masing, saya menulis jawapan yang betul di papan tulis. Murid-murid
diminta menandakan jawapan mereka, sama ada betul atau salah.
Aktiviti seterusnya ialah menulis
beberapa perkataan mudah dalam tulisan Jawi (suku kata terbuka dan suka kata
tertutup). Tujuan aktiviti ini ialah untuk membiasakan murid menulis perkataan-perkataan
tertentu menggunakan huruf Jawi. Sambil melihat kad, saya juga membantu
murid-murid menulis perkataan-perkataan. Saya juga memandu murid dalam
penulisan dengan menulis dua huruf Jawi yang perlu ada dalam setiap perkataan
yang dihasilkan. Selain itu, gambar-gambar objek turut dilukis di sebelah
perkataan yang hendak ditulis untuk membantu murid menulis dengan betul.
Pemerhatian: Saya dapati semua murid
dapat menuliskan jawapan yang betul pada kertas latihan masing-masing.
Kegembiraan dan kepuasan jelas terbayang pada wajah mereka. Saya merasa sangat
seronok dan sekain berpuas hati dengan perubahan sikap mereka.
iii.
Aktiviti III: Memperkenalkan Teknik Avu Zar Zad
Dengan berpandukan kad Avu Zar Zad,
saya menerangkan mengenai huruf-huruf yang menghasilkan bunyi “Avu Zar Zad’ dan
menjelaskan bahawa-bahawa huruf-huruf tersebut boleh disambung di panggkalnya
tetapi tidak di hujungnya. Selain daripada huruf-huruf Avu Zar Zad, huruf-huruf
tersebut boleh disambung di pangkal dan di hujungnya. Saya juga menerangkan
maksud symbol ( + ) dan ( - ) yang ada pada Kad Avu Zar Zad. Apabila sesuatu
perkataan Jawi mengandungi salah satu huruf Avu Zar Zad, maka simbol ( - )
ditulis selepas huruf tersebut. Tapi jika huruf selain huruf Avu Zar Zad maka
symbol ( + ) ditulis selepas itu.
Setelah selesai simbol-simbol
ditulis, saya meminta murid menyambung huruf-huruf. Saya memberi peringatan,
sekiranya selepas sesuatu huruf ada tanda ( + ), maka huruf itu boleh
disambungkan dengan huruf di hadapannya. Tetapi jika selepas sesuatu huruf
ditulis symbol ( - ), maka huruf itu tidak boleh disambung.
Setelah memberi penerangan, saya juga
menyoal murid secara lisan bagi mengenal pasti tahap pemahaman mereka.
Pemerhatian: Saya dapati murid-murid
memberi respons yang sungguh menakjubkan. Mereka seronok untuk mencuba
menyambung huruf-huruf sambil menggunakan Kad Dalil Avu Zar Zad.
iv.
Aktiviti VI: Memberi Latih Tubi Untuk Teknik Avu Zar Zad
Apabila telah pasti mereka dapat
memahami bagaimana untuk menggunakan kad, saya memberi soalan yang mengandungi
perkataan yang ditulis huruf tunggal Jawi. Saya meminta murid-murid menyambung
huruf-huruf Jawi tersebut dengan menggunakan Jadual Teknik Avu Zar Zad. Soalan
mengandungi 15 kata nama dan ditulis dalam huruf-huruf Jawi yang tidak
bersambung. Murid-murid diminta menulis semula perkataan dalam tulisan Jawi
dengan betul. Sepanjang menyiapkan latihan, murid-murid dibenarkan untuk
menggunakan Kad Dalil Avu Zar Zad sebagai panduan.
Setelah semua murid telah menyiapkan
latihan mereka, saya meminta seorang demi seorang keluar ke papan hitam untuk
menulis jawapan mereka.
Pemerhatian: Murid kelihatan
bersungguh-sungguh menyiapkan latihan. Apabila
saya bertanya siapa yang mahu ke depan untuk menulis jawapan, semuanya
mengangkat tangan masing-masing dan begitu yakin untuk ke depan kelas untuk
menulis jawapan di papan hitam. Alangkah gembira rasanya di jiwa apabila
melihat perubahan positif pada murid.
No comments:
Post a Comment